Kajian Terhadap Ketokohan Ulama Pengajian Ilmu Hadith di Nusantara
Keywords:
Ketokohan Ulama, Pengajian Ilmu Hadith, NusantaraAbstract
Pengajian ilmu hadith merupakan sebahagian bidang pengajian yang penting dalam Islam, sesuai dengan kedudukannya sebagai sumber kedua penting selepas al-Quran. Para ulama telah memberikan perhatian terhadapnya sama seperti perhatian mereka terhadap al-Quran. Ini terbukti apabila mereka telah meninggalkan khazanah yang tiada ternilai dalam pelbagai bidang ilmu yang berkaitan dengan hadith Rasulullah (s.a.w.). Penulisan ini akan menelusuri Pengajian ilmu hadith di Nusantara dengan memfokuskan kepada tokoh, karya dan institusi yang telah memberi sumbangan dan khidmat terhadap hadith Rasulullah (s.a.w.). Pada kurun ke 19 dan 20, dunia Islam memperlihatkan perkembangan yang agak menarik dalam bidang hadith di seluruh dunia terutama sekali dengan kemunculan tokoh- tokoh mutakhir seperti Nasirudin al-bani, Syu’aib al-Arnaut, Salim
al-Hilali, Mashur Hassan al-Athari dan lain-lain. Di Malaysia, perkembangan bidang ilmu ini agak perlahan kerana kebanyakkan karya dihasilkan secara terjemahan daripada kitab-kitab asal, kecuali sebilangan kecil sahaja yang boleh dianggap karya asal. Justeru, objektif kajian ini adalah untuk mengetengahkan serta menganalisis tokoh-tokoh ulama pengajian ilmu hadith di Nusantara. Kertas kerja ini adalah kajian awal yang bersifat kualitatif berbentuk analisis kandungan melibatkan kajian kepustakaan terhadap bahan seperti buku, kertas kerja, artikel, jurnal, penulisan ilmiah, serta kajian disertasi dan kaedah
analisis data adalah berbentuk diskriptif. Implikasi kajian menunjukkan penelitian awal berkenaan dengan sumbangan ulama dan institusi formal dan non formal yang terlibat di dalam bidang pengajian ilmu hadith ini dapat dijadikan asas kepada usaha menjadikan pengajian ilmu hadith ini lebih mendalam dan komprehensif. Hasil kajian mencadangkan untuk melakukan kajian lanjutan tentang ketokohan ulama dalam pengajian ilmu hadith di Nusantara.
